Apa Itu Wang Tak Dituntut (WTD)?
Wang Tak Dituntut (WTD) adalah sejumlah wang yang tidak dituntut oleh pemiliknya dalam tempoh tertentu. Di Malaysia, wang ini boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti simpanan bank, tuntutan insurans, draf bank, dividen, dan sebagainya. Sekiranya anda ingin mengetahui sama ada anda mempunyai wang yang belum dituntut, portal eGUMIS adalah cara terbaik untuk membuat semakan secara dalam talian.
Wang Tak Dituntut merujuk kepada wang yang berada dalam kredit akaun atau instrumen kewangan yang tidak dikendalikan atau dituntut oleh pemiliknya dalam tempoh lebih daripada tujuh (7) tahun. Ini termasuklah pelbagai jenis wang seperti:
- Gaji, bonus, dan komisen yang belum dibayar;
- Dividen dan keuntungan yang belum diterima;
- Tuntutan insurans yang belum dilunaskan;
- Draf bank dan cek yang telah luput tempoh sahnya;
- Akaun simpanan dan simpanan tetap yang tidak aktif.
Selain itu, wang dalam akaun dagangan yang tidak dikendalikan dalam tempoh dua (2) tahun juga dianggap sebagai WTD. Sebagai contoh, akaun pemiutang atau penghutang yang tidak mempunyai sebarang transaksi.
Sehingga akhir Oktober 2024, Malaysia mencatatkan sejumlah RM12.8 bilion wang tak dituntut (WTD) yang masih belum dituntut oleh rakyat. Menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), daripada RM17 bilion yang telah diserahkan oleh syarikat dan firma kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), hanya RM4.2 bilion yang telah berjaya dituntut.
Siapakah Yang Menguruskan Wang Tak Dituntut?
Akauntan Negara Malaysia (JANM) bertanggungjawab untuk menguruskan Wang Tak Dituntut. Di bawah Akta WTD 1965, JANM bertindak sebagai Pendaftar Wang Tak Dituntut yang mempunyai beberapa peranan penting, termasuk:
- Menyemak dan memproses tuntutan WTD yang sah;
- Mengendalikan pengumpulan dan pengurusan wang yang dituntut;
- Menetapkan denda kepada syarikat yang gagal mematuhi peraturan berkaitan WTD.
Fungsi Portal eGumis
Portal eGUMIS adalah platform rasmi yang disediakan oleh JANM untuk memudahkan orang ramai melakukan semakan dan tuntutan Wang Tak Dituntut. Beberapa fungsi utama portal ini termasuk:
- Membayar serahan WTD melalui FPX (pembayaran secara dalam talian);
- Memuat naik daftar WTD yang telah diencrypt secara elektronik;
- Menyemak status serahan WTD yang dikemukakan;
- Menyediakan resit serahan dan surat kuiri serahan WTD.
Cara Semakan Wang Tak Dituntut (WTD) Secara Online
Untuk memudahkan proses semakan Wang Tak Dituntut, JANM telah menyediakan portal eGUMIS yang membolehkan anda membuat carian menggunakan nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran syarikat. Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat semakan:
- Layari Portal eGUMIS
Kunjungi pautan rasmi portal di eGUMIS - Daftar Pengguna
Untuk mengakses portal, anda perlu membuat pendaftaran pengguna terlebih dahulu. Setelah pendaftaran, anda akan menerima e-mel yang mengandungi kata laluan sementara untuk log masuk. - Tukar Kata Laluan
Log masuk dengan kata laluan sementara yang diterima dan kemudian ubah kepada kata laluan yang lebih selamat. - Kemaskini Maklumat Pengguna
Pastikan semua maklumat pengguna dikemaskini untuk memastikan proses semakan berjalan lancar. - Semak Wang Tak Dituntut
Klik pada “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk mula membuat semakan menggunakan nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran syarikat. - Cetak Maklumat
Jika terdapat WTD yang tidak dituntut, anda boleh mencetak maklumat tersebut untuk tujuan tuntutan.
Nota: Anda hanya dibenarkan untuk membuat semakan sebanyak dua kali sehari.
Proses Tuntutan Wang Tak Dituntut eGUMIS
Sekiranya anda mendapati ada wang yang belum dituntut atas nama anda, anda boleh membuat tuntutan untuk memindahkan wang tersebut ke dalam akaun bank anda. Berikut adalah pihak yang layak membuat tuntutan:
- Pemilik Wang Tak Dituntut (individu atau syarikat);
- Pentadbir harta pusaka yang sah;
- Pelikuidasi syarikat yang sedang dalam proses penggulungan;
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Jabatan Insolvensi Malaysia bagi syarikat yang dibubarkan atau individu yang bankrap.
Setelah permohonan dihantar, wang akan diproses dan biasanya mengambil masa lebih kurang satu bulan untuk dikreditkan ke akaun bank yang dinyatakan dalam borang tuntutan.
Masalah Login eGUMIS
Berikut adalah langkah-langkah untuk log masuk kali pertama selepas selesai proses pendaftaran:
- Pengguna akan menerima emel yang mengandungi kata laluan sementara untuk log masuk ke portal.
- Log masuk ke portal menggunakan kata laluan sementara yang diterima melalui emel.
- Setelah log masuk, pengguna perlu menukar kata laluan kepada kata laluan baharu.
- Kemaskini maklumat pengguna untuk melengkapkan proses pendaftaran.
Soalan Lazim eGUMIS
Adakah Terdapat Tarikh Akhir Untuk Memohon Wang Tak Dituntut?
Pendaftar tidak mengenakan sebarang tarikh akhir untuk memohon wang tak dituntut. Pemilik yang sah boleh memohon pada bila-bila masa tanpa had waktu.
Adakah Pendaftar Menetapkan Jumlah Minimum untuk Tuntutan Wang Tak Dituntut?
Tiada jumlah minimum yang ditetapkan oleh Pendaftar untuk tuntutan wang tak dituntut. Sebarang jumlah yang dituntut boleh diproses selagi ia sah dan boleh dibuktikan.
Adakah Terdapat Sebarang Caj untuk Permohonan Wang Tak Dituntut?
Permohonan tuntutan wang tak dituntut tidak dikenakan sebarang caj. Tiada bayaran dikenakan kepada pemohon untuk mengemukakan tuntutan.
Adakah Pendaftar Membayar Faedah atas Wang Tak Dituntut?
Mengikut Seksyen 11(3) Akta Wang Tak Dituntut 1965, pembayaran wang tak dituntut adalah berdasarkan jumlah yang diserahkan kepada Pendaftar oleh syarikat atau firma, tanpa sebarang faedah tambahan.
Adakah Pendaftar Melantik Ejen untuk Menguruskan Permohonan Wang Tak Dituntut?
Pendaftar Wang Tak Dituntut tidak melantik mana-mana syarikat, firma, atau individu untuk menguruskan tuntutan wang tak dituntut. Semua permohonan diuruskan secara langsung oleh Pendaftar.
Bagaimana Pihak Ketiga atau Ejen Boleh Mengakses Maklumat Wang Tak Dituntut?
Mengikut Seksyen 10A Akta Wang Tak Dituntut, rekod wang tak dituntut yang telah digazetkan akan diserahkan kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk tujuan penggazetan. Setelah digazetkan, rekod tersebut menjadi dokumen awam dan boleh diakses oleh orang ramai. Namun, Pendaftar dan Kementerian Kewangan tidak melantik ejen untuk menguruskan wang tak dituntut.
Bagaimana Proses Penggazetan Wang Tak Dituntut?
Mengikut Seksyen 10A(1) Akta Wang Tak Dituntut 1965, syarikat atau firma perlu menyerahkan Daftar Wang Tak Dituntut (UMA3) kepada Pendaftar untuk digazetkan oleh PNMB. Rekod yang telah digazetkan ini akan disimpan di Perpustakaan Negara sebagai rujukan awam.
Bolehkah Semua Rekod Wang Tak Dituntut Diakses dan Dituntut Melalui Portal eGUMIS?
Hanya rekod wang tak dituntut yang telah digazetkan sahaja yang boleh diakses dan dituntut melalui portal eGUMIS.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai tuntutan WTD, anda boleh merujuk garis panduan dan manual sistem eGUMIS yang disediakan di portal rasmi. Manual ini memberikan panduan terperinci mengenai cara penggunaan sistem serta prosedur tuntutan.
Jangan lepaskan peluang untuk membuat semakan Wang Tak Dituntut di portal eGUMIS, kerana ini mungkin merupakan peluang anda untuk mendapatkan semula wang yang tidak dituntut dan terlupakan.