Apa Itu Sistem Pendaftaran Status PMKS?
Sistem ini berfungsi sebagai alat untuk mengesahkan status Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS). Ianya untuk semua syarikat atau perniagaan yang mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Melalui sistem ini, setiap syarikat atau entiti perniagaan yang ingin mendapatkan pengiktirafan sebagai PMKS perlu melalui proses semakan dan penilaian. Ianya bagi memastikan mereka memenuhi kriteria yang ditentukan, seperti jumlah pekerja, pendapatan tahunan, dan saiz perniagaan. Ini membantu memastikan bahawa hanya perniagaan yang layak dapat menikmati faedah dan sokongan yang disediakan khas untuk sektor ini.
Selain itu, sistem pengesahan ini juga memudahkan pemantauan dan pengurusan PMKS secara lebih berkesan. Di mana maklumat berkaitan status perniagaan dapat dikumpulkan dan diuruskan dalam satu platform yang mudah diakses. Langkah ini selari dengan usaha kerajaan untuk menyokong pembangunan perniagaan kecil di Malaysia. Serta memastikan ketelusan dalam proses pengesahan status perniagaan.
Siapa Yang Perlu Mendaftar?
- Semua entiti perniagaan dalam pelbagai sektor ekonomi.
- Syarikat atau perniagaan yang ingin menyemak status mereka.
- Syarikat atau perniagaan yang ingin memohon bantuan dan insentif khusus untuk Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana yang disediakan oleh kerajaan.
Apakah Manfaatnya?
- Mendapat pengesahan status Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana untuk syarikat atau perniagaan.
- Sekiranya disahkan sebagai PMKS, syarikat akan menerima sijil digital (digital certification) yang menunjukkan Status PMKS.
- Sijil Status PMKS sah selama dua (2) tahun.
Cara Mendaftar
Untuk pendaftaran, sila layari laman web https://mybpi.smecorp.gov.my/.
Bantuan PMKS Belanjawan 2025
Kerajaan telah memperuntukkan RM40 bilion untuk kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan perniagaan melalui agensinya, dengan fokus pada sektor perusahaan mikro, kecil, dan sederhana serta kumpulan usahawan.
Dana sokongan ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem PMKS di negara ini, khususnya dalam bidang digital, peralihan tenaga, dan keselamatan makanan.
Sebagai maklumat lanjut, dana ini termasuk pinjaman mikro sebanyak RM3.2 bilion yang melibatkan sokongan daripada TEKUN dan Bank Simpanan Nasional (BSN). Selain itu, terdapat dana RM6.4 bilion dari Bank Pembangunan Malaysia dan sehingga RM20 bilion melalui Skim Jaminan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan.
12 Inisiatif Utama
Berikut adalah 12 inisiatif utama yang dijadualkan untuk memberikan sokongan besar kepada para usahawan:
- Pusat NADI oleh SKMM [RM100 Juta] Diperuntukkan selama 5 tahun. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan Pusat NADI di seluruh negara. Ianya sebagai platform bagi komuniti usahawan memanfaatkan peluang perniagaan dalam talian dan mengembangkan operasi digital mereka.
- Program Syarikat Mid-Tier oleh Khazanah [RM1 Bilion] Ditujukan untuk syarikat-syarikat tempatan di peringkat pertengahan. Program ini menyediakan pembiayaan khas untuk membina kapasiti dan meningkatkan daya saing di pasaran tempatan serta global.
- Geran Padanan Digital PMKS & Penjaja [RM50 Juta] Usahawan, termasuk penjaja kecil, akan menerima geran padanan di bawah BSN. Ianya adalah untuk memudahkan pendigitalan perniagaan dan memastikan mereka relevan dalam pasaran digital yang semakin berkembang.
- Skim Insentif Pemampanan Pengeksport oleh EXIM Bank [RM750 Juta] Menawarkan insentif kepada usahawan pengeksport tempatan. Bagi mengembangkan operasi mereka ke pasaran luar negara, meningkatkan peluang eksport yang berdaya saing.
- Geran Bayaran Balik oleh MATRADE [RM40 Juta] Membantu pengeksport Malaysia dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka di 60 platform antarabangsa. Dengan fokus pada pasaran baru seperti Afrika, Amerika Latin, dan Timur Tengah.
- Dana Pinjaman PKS oleh Bank Negara Malaysia [RM3.8 Bilion] Menyokong PKS dalam proses digitalisasi dan automasi. Serta memperkuat sektor agromakanan dan amalan perniagaan lestari.
- Sokongan Keusahawanan Wanita & Belia [RM650 Juta] Dana khusus untuk wanita dan belia yang berminat dalam keusahawanan. Seterusnya memberikan peluang untuk kejayaan dalam bidang perniagaan.
- Pembiayaan Usahawan Bumiputera oleh MARA & PUNB [RM800 Juta] Menyediakan pembiayaan dan sokongan pembangunan perniagaan untuk usahawan Bumiputera, termasuk artisan tempatan.
- Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) [RM20 Juta] Memberikan sokongan kepada usahawan belia melalui latihan dan pembiayaan. Seterusnya mendorong generasi muda untuk menjadi pemimpin dalam bidang perniagaan.
- Program i-Tekad [RM20 Juta] Menawarkan geran padanan yang merangkumi caruman untuk insurans atau takaful bagi usahawan mikro dan peniaga kecil yang terjejas oleh bencana alam.
- Industri Kreatif oleh MyCreative Ventures [RM25 Juta] Menyokong syarikat dalam industri kreatif dengan suntikan ekuiti dan pembiayaan khas. Merangsang pertumbuhan dalam sektor seni dan kreatif di Malaysia.
- Sokongan Perniagaan Bumiputera oleh PHB & Ekuinas Melalui Yayasan Pelaburan Bumiputra, PHB dan Ekuinas akan menyediakan sokongan berterusan kepada perniagaan Bumiputera, memastikan pertumbuhan yang mapan sepanjang kitaran perniagaan.
Untuk Maklumat Lanjut
Anda boleh menghubungi atau emel:
SME Corporation Malaysia
Tingkat 4, SME 1, Blok B, Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur
Talian Info: 03-9213 0077
Talian Urusetia: 03-2775 6053/6092/6089
Emel:
- [email protected]
- [email protected] (untuk isu teknikal berkaitan sistem MyBPI)
Artikel Lain
Senarai Pelepasan Cukai 2024 untuk e-Filing 2025